Apakah Itu Kitaran Nitrogen?




Kitaran Nitrogen : Bahagian 1


Salam semua.


Bagaimana akuarium anda hari ini? Masih mendapat jelingan tajam dari isteri (hehehe... ). Rilex2 sahaja. Seperti yang dijanjikan, hari ini kami akan berkongsi dengan anda semua yang baru berjinak sebagai penghobi ikan hiasan berkenaan kitaran nitrogen serta kaedah mematangkan air pada akuarium atau tank anda. Kami akan menulis perihal ini dalam beberapa bahagian dalam bahasa yang mudah agar rakan-rakan dapat hadam satu persatu. Jom kita mulakan.


Kitaran Nitrogen adalah sesuatu yang tidak dapat anda hindari dan amat penting untuk difahami apabila memiliki akuarium. Anda harus tahu kaedah mengitar tangki (atau akuarium) sehingga anda dapat menyediakan persekitaran yang stabil dan sihat untuk haiwan akuatik peliharaan anda.


Anda mungkin pernah mendengar istilah Kitaran Biologi, Proses Nitrifikasi, atau Sindrom Tangki Baru (New Tank Sindrome). Tetapi, semuanya merujuk kepada perkara yang sama - Kitaran Nitrogen. Apa itu kitaran nitrogen, dan mengapa ia begitu penting? Ikan kan bernafas guna oksigen? Saya dah pasang pam oksigen. Apeke menda plak nitrogen ni? Tenang bro......


Bayangkan anda di dalam rumah anda. Adakah anda ingin dikelilingi oleh kencing dan kotoran najis anda sendiri sepanjang hari setiap hari? Pasti TIDAK,  demikianlah juga ikan anda. Sisa buangan ikan anda dan makanan yang anda ter over bagi tu akan melepaskan ammonia ke dalam air, yang akan membunuh ikan anda. Akuarium kotor, air keruh dan sebagainya.


Kitaran Nitrogen membantu mengelakkan perkara ini. Ini adalah proses di mana bakteria bermanfaat akan terbentuk di dalam tangki dan media penapis anda (span, pasir, bio-ball dan sebagainya), membolehkan ammonia (toksik) bertukar menjadi nitrit (yang bersifat toksik), kemudian nitrit menjadi nitrat (tidak beracun). Bakteria bermanfaat dalam penapis anda akan menyeimbangkan dan menstabilkan persekitaran ikan anda dengan meneutralkan sisa mereka.


Namun, jika anda membiarkan tahap nitrat terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan hilangnya warna / selera makan dan alga membiak pantas. Itulah sebab kadang-kadang akuarium anda berlumut dan menjadi hijau. Maka, penukaran air atau water change (WC) perlu dilakukan.


Sebaiknya anda perlu memantau kitaran setiap hari. Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan membeli alat ujian akuarium supaya anda dapat memeriksa tahap amonia, nitrit, nitrat, dan pH. Pulak dah?! Kena beli apa lagi? Cara lebih mudah takde ke? Ada bang. Sabar, nanti kami terangkan. Baru mukadimmah ni. Hehehe......


Prosesnya kitaran nitrogen merangkumi tiga peringkat:


Tahap 1: Ammonia

Tahap 2: Nitrit

Tahap 3: Nitrat


Tahap 1: Ammonia


Ammonia wujud di dalam akuarium anda melalui najis ikan atau makanan yang tidak dimakan, bergantung pada tahap pH di akuarium anda. Di bawah 7, dan ia akan menghasilkan amonium terion (NH4). Di atas 7, ia dipanggil ammonia (NH3). Ringkasnya, kedua-duanya ammonia la. Amonia akan terus bertambah sehingga bakteria yang memakannya mula terbentuk. Akuarium anda mungkin menjadi keruh ketika bakteria ini mula terbentuk. Apabila tahap ammonia mula menurun, anda memasuki fasa kedua.


Tahap 2: Nitrit


Nitrit akan meningkat apabila ammonia menurun. Secara dasarnya, bakteria tadi memakan ammonia dan menghasilkan nitrit, yang juga sangat toksik kepada ikan anda. Sama seperti tahap pertama, nitrit meningkat sehingga koloni bakteria baru terbentuk untuk membuangnya. Biasanya  tahap nitrit mula meningkat pada akhir minggu pertama atau pada minggu kedua.


Tahap 3: Nitrat


Merupakan produk akhir Kitaran Nitrogen. Setelah tahap nitrit anda mencapai titik tertentu bakteria yang disebut Nitrobacter akan berkembang. Mereka akan bekerja untuk menukarkan nitrit menjadi nitrat. Apabila tahap nitrit dan ammonia mencapai 0 ppm (bahagian per juta), kitaran akuarium anda dianggap telah lengkap.


Fuhh... lega saya. Dan setel. Nanti dulu! Nitrat tidak beracun dalam kepekatan rendah, tetapi, jika mencapai lebih dari 20 ppm, nitrat juga akan menjadi toksik. Oleh itu, anda perlu memantau tahap di akuarium anda. Terdapat kaedah-kaedah tertentu yang boleh digunakan untuk mengekalkan tahap nitrat yang dapat diterima. Lakukan penukaran air separa (10-50% setiap 1-2 minggu, bergantung kepada jenis ikan anda). Tapi, jangan seskali tukar air 100%.


Ini penting untuk akuarium anda dengan membuang bahan-bahan seperti sebatian organik terlarut, sisa ikan pepejal dan mengganti semula bahan terlarut lain seperti mineral yang mungkin diperlukan oleh tumbuhan dan haiwan anda.


Anda juga boleh menambah tanaman akuarium (pokok akuatik, jangan letak pokok bunga bini pulak) yang dapat membantu menyerap sebahagian daripada nitrat. Akuarium air masin? batuan hidup (seperti koral) dan pasir yang dalam boleh mempunyai kawasan anaerob di mana bakteria denitrifikasi dapat memecah nitrat menjadi gas nitrogen yang tidak berbahaya.


So, macam mana? Kami yakin anda telah mendapat serba sedikit gambaran asas yang lengkap berkenaan kitaran nitrogen bagi akuarium anda. Kesimpulannya, hobi memelihara ikan memerlukan kesabaran. Dalam keadaan biasa, selepas mengisi air dalam akuarium, anda perlu menunggu paling tidak sebulan untuk kitaran ini lengkap dan air matang. What?! Sebulan? Takde cara lebih cepat ke? Hehehe... ada. Nantikan dalam bahagian ke dua rencana kami nanti. Dah. Pergi tolong bini anda masak di dapur tu. Petang karang nanti baru pergi kedai akuarium. Hehehe.... Jangan lupa like, follow dan share page https://www.facebook.com/my.h2aqua .


Kitaran Nitrogen : Bahagian 2


Salam Semua rakan-rakan H2 Aqua.

Bagaimana  sebenarnya cara melakukan kitaran nitrogen? Terdapat dua kaedah utama yang boleh anda gunakan: Kitaran dengan ikan dan kitaran tanpa ikan.


KITARAN DENGAN IKAN.


Kami mula dengan mengatakan, ini bukan kaedah pilihan yang baik. Ia agak kejam sebenarnya. Dalam post sebelum ini kita telah membayangkan situasi itu. Isi air paip ke dalam tank, masuk anti klorin, garam, hidupkan pump dan terus masukkan ikan. Memang kejam. Tapi anda tak tahu, kan?  Anda akan mendedahkan ikan kepada ammonia dan nitrit semasa proses kitaran mula berlaku dan sebahagian (atau mungkin semua)  ikan akan mati. Anda memberi tekanan kepada ikan tu. 


Namun, beberapa spesies dapat melalui “kekejaman” ini. Bagi setiap 40 liter air, letakkan 1 atau 2 ekor sahaja. Jangan lebih. Ikan apa? Arapaima? Hahaha.... bukan. Ini antara spesisnya:

 

Cherry or Tiger Barbs, Gourmis striped, White Cloud, Most minnow, Zebra Danios,  X-ray tetras, Pseudotrophius Zebra. Ermm… macam boleh tahan jer harga ikan-ikan ni? Yup… lebih murah dan senang anda beli je anak ikan (bukan yang mak-mak datin bela tu tau!). Alaaa… anak-anak ikan yang depa bagi makan kat arowana tu. Beli sehinggit jer…..


Kemudian berilah makan ikan anda dengan kuantiti yang sedikit sahaja. Senang begini,  beri makan ikan anda 2 hari sekali. Kenapa? Kerana jika ikan makan lebih banyak, mereka akan menghasilkan lebih banyak sisa. Ini meningkatkan tahap toksin dalam akuarium anda sebelum bakteria baik dapat mengkoloni dalam akuarium anda. Jika ada ikan mati, cepat-cepat keluarkan. 


Air dalam akuarium akan mula mengalami perubahan seawal 3 hari ke 1 minggu. Ikan akan terdedah kepada jumlah amonia dan nitrat yang berpotensi membunuh, jadi penukaran air (water change a.k.a  WC) perlu dilakukan. Ini akan membantu memastikan tahap toksin terkawal dan tidak terlalu tinggi. Caranya mudah. Setiap 3 hari, buat WC sebanyak 10% sahaja. Tak perlu lebih. Masukkan air baru beserta anti klorin. Lebih bagus jika air itu adalah air paip yang anda telah tadah dan peram selama 3 hari. 


Teruskan proses di atas selama sebulan. Biasanya dalam tempoh ini, kitaran nitrogen akuarium anda telah lengkap.  Untuk kitaran air lebih sempurna? Anda boleh gunakan PSB dalam peringkat ini. PSB H2 Aqua adalah halal dan berkualiti tinggi serta membantu menyempurnakan kitaran nitrogen (iklan la sikit kan. Hehehe....)


Kitaran Nitrogen : Bahagian 3



KITARAN TANPA IKAN.


Ini merupakan kaedah yang saya amat sarankan untuk anda kerana satu sebab; lebih berperikemanusiaan (hehehe.....). Terdapat beberapa cara bagi mengaplikasikan kitaran nitrogen ini. Kami akan cuba untuk nyatakan caranya khusus bagi newbie setelah anda memahami asas kitaran nitrogen dalam artikel kami sebelum ini. Andaikan anda memiliki akuarium baru. Air dah diisi dan diletakkan anti klorin. Pam sistem penapisan air (filter) pun anda hidupkan. INGAT! : akuarium anda belum ada ikan, ok. Jangan menggatal pergi beli ikan. Pulas telinga kang (ahakss......)


A) Memulakan Ammonia

Sekarang masanya untuk anda “masukkan” ammonia ke dalam tank anda. Tapi... ikan takde, bagaimana? Mudah sahaja. Masukkan makanan ikan (palet, flakes dan sebagainya). Berapa banyak nak letak? Sebotol? Amboi.... jangan la. Letak sedikit sahaja. Sekarang, tunggu. Serpihan makanan tadi akan mulai reput dan larut dan membebaskan ammonia ke dalam tank anda.


B) Ammonia Terbentuk

Anda memerlukan kit ujian dan memantau tahap ammonia di dalam tank anda selama beberapa hari. Sebaik-baiknya tahapnya sekurang-kurangnya 3 ppm (bahagian per juta). Kejap, kit apa pulak ni? Ada beberapa pilihan jenama yang anda boleh beli (API, Nutrafin, Tetra dan sebagainya). Kami syorkan API Master Test Kit. Nak jimat beli yang satu set mcm dalam gambar tu. Tak nak? Takpe, kita teruskan dulu. Sekiranya tidak cukup ammonia di dalam tangki anda, tambahkan lebih banyak makanan ikan dan biarkan. Pada tahap ammonia 3 ppm, bakteria nitrosomas akan mula muncul dan mula memakan ammonia dalam akuarium anda. Biasanya, keadaan ini akan berterusan selama 5 ke 7 hari.


C) Ujian Nitrit

Setelah seminggu fasa ammonia anda selesai, sudah tiba masanya anda menguji nitrit. Nitrit adalah hasil “buangan” bakteria nitrosomas. Sekali lagi, anda boleh gunakan alat ujian komersial (API Master Test Kit tadi) untuk tujuan ini. Sebaik sahaja nitrit muncul di dalam tank, bermakna kitaran telah pergi ke peringkat seterusnya.


D) Ujian Nitrat

Setelah menguji ammonia dan nitrit selama beberapa minggu, kita akan dapati tahap nitrit mulai menurun. Kemunculan bakteria nitrobakter “memakan” nitrit dan menukarkannya kepada nitrat. Tiba masa untuk buat ujian untuk nitrat. Apabila ini berlaku, maknanya kitaran nitrogen akuarium anda hampir selesai. Setelah tahap ammonia dan nitrit kembali ke sifar, kitarannya selesai. Walau bagaimanapun, jika bacaan nitrat anda melebihi 40, anda perlu melakukan beberapa perubahan air untuk menurunkan angka ini. Sebagaimana kaedah kitaran dengan ikan, keseluruhan proses mengambil masa kurang lebih 1 bulan.


E) Masukkan Ikan

Jeng jeng jeng..... Tibalah masa yang anda nantikan.  Pergi kedai, pilih la ikan yang anda suka atau idamkan selama ini. Atau nak murah, pow lah ikan kawan-kawan anda (muahahahaha!)

Jika anda memelihara ikan yang banyak, letaklah sedikit demi sedikit.  Dan tunggu sekurang-kurangnya satu minggu sebelum anda menambah lagi ikan. Menambah terlalu banyak ikan akan menyebabkan kadar ammonia dan nitrit meningkat. Ini akan memberi tekanan kepada ikan anda dan boleh menyebabkan penyakit. Ketahuilah nisbah bilangan ikan dengan saiz akuarium anda. Rajin-rajinlah membaca. Jangan “siksa” ikan anda. Berdosa tau...


Jadi, kami telah kongsikan serba sedikit berkenaan kitaran nitrogen serta kaedah-kaedah yang boleh anda gunakan. Soalan cepu emas : “Takde ke cara untuk mempercepatkan proses ni?”. Hahaha... ada bang... kami akan kongsikan caranya dalam artikel kami yang seterusnya, Kitaran Nitrogen : Bahagian 4. Nantikan ya..... 


Kitaran Nitrogen : Bahagian 4


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan H2 Aqua.


Soalan : “Saya tidak sabar, bolehkah saya mempercepat kitaran nitrogen?” Bingo! Soalan cepu emas. Dah agak dah. Ramai tanya soalan ni. Hehehe......


Jawabnya : YA! kitaran nitrogen boleh dipercepat. Sekiranya anda tidak mahu menunggu selama 4-6 minggu, anda boleh menggunakan beberapa teknik ini.


A)  Meminjam Media Dari Tangki Yang Telah Matang

 

Anda memerlukan akses ke tangki yang sudah ada untuk menggunakan media penapisannya. Caranya mudah. Ambil span (dari filter atas ke, bawah ke, dalam ke) dan letakkan pada sistem penapisan akuarium atau tangki baru anda. Takde? Ah ah kan... akuarium baru beli. Sebijik tu je pun... Errmmm... anda pinjam dari kawan-kawan yang dah ada akuarium yang dah matang. Dah tu nanti dia nak pakai span mana. Betul jugak kan? Begini, pinjam jer sekejap. Letak dalam tangki anda dan picit or perahkan span tu. Alamak! Abis la kotor akuarium saya. Memang la. Itulah ideanya. Untuk “curi” bakteria dari span tangki yang dah matang, masuk dalam tangki anda. 


Oh... Kalau macam tu baik saya ambik jer air dari akuarium yang dah matang, masuk je sebahagiannya dalam tangki baru saya. Boleh kan? Kan? Kan? Hahaaha.... nice try bro... 


Jawapannya : TIDAK!! Sebahagian besar bakteria baik dalam tangki yang telah matang bukan berada di dalam air. Mereka berkoloni dan hidup bahagia pada sistem filter. Justeru, di situlah tempat paling baik untuk kita dapatkan bakteria-bakteria tu semua. Kalau ada yang ajar anda ambil air dari tangki lain untuk cepatkan kitaran nitrogen, ketahuilah sesungguhnya itu adalah ajaran sesat. 


Bakteria dari tangki matang tadi akan menjajah ke penapis baru anda. Biarkan selama kira-kira  2 hingga 3 minggu, kitaran anda mungkin telah lengkap. Jangan lupa uji air dengan kit ujian sebagaimana yang diterangkan dalam artikel kami sebelum ini.


B)  Gunakan Tumbuhan Hidup


Tumbuhan akuatik hidup, (bukan tanaman palsu pokok-pokok plastik tu), dapat membantu memperkenalkan bakteria untuk membantu mempercepat proses kitarannya. Terutama, jika anda mendapatkannya dari tangki yang sudah ada. Tumbuhan tidak hanya membawa bakteria bermanfaat tetapi juga menjalankan proses yang disebut sintesis protein untuk mengurangkan tahap ammonia di dalam tangki anda. Sama seperti kaedah di atas, kitaran boleh lengkap dalam masa kurang lebih 2-3 minggu.


Namun AWAS! Hati-hati dengan Pencemaran!


Ini penting, kelemahan BESAR menggunakan media seperti span dari tangki lain untuk mempercepat Kitaran Nitrogen anda ialah ia berpotensi memindahkan beberapa “makhluk durjana”. Ada kemungkinan ia mengandungi patogen-patogen yang tidak diingini seperti bakteria dan parasit berbahaya. Ia boleh jadi tidak mengancam populasi dalam tangki asal, tetapi anda harus tahu, lain hidupan akuatik, lain penyakit dan rintangan ketahanan mereka terhadap penyakit tertentu. Apatah lagi kalau anda ambil pokok dari sungai, tali air, longkang dan sebagainya. Risikonya terlalu tinggi. So, ada tak cara yang cepat tapi selamat? Sudah tentu!


C) Menggunakan PSB

 

Kami paling syorkan cara ini. Jika anda telah baca semua artikel kitaran nitrogen kami sebelum ini, anda mudah faham pada peringkat ini. Caranya, simpel. Setup satu aquarium baru, masukkan anti klorin dan biarkan dahulu selama 24 jam. Selepas 24 jam, masukkan PSB dengan sukatan yang betul. Pastinya kami mengesyorkan PSB keluaran kami, H2 Aqua kerana kami sendiri telah menguji dan menggunakannya.  Selepas masukkan PSB, pasangkan sahaja lampu akuarium anda. Tak perlu lama. Maksimum 5 jam sahaja sehari. Hari ke 4 masukkan lagi PSB. Selepas seminggu, buat penukaran air (WC) sebanyak 20% dan tambahkan dos sekali ganda dan biarkan lagi untuk tempoh seminggu. PSB H2 Aqua mengandungi kedua-dua bakteria nirtosomas dan nitrobakter yang membantu melengkapkan dan mempercepatkan kitaran nitrogen. Boleh masukkan ikan selepas 2 minggu. Namun kaedah dan sukatan ini untuk PSB H2 Aqua sahaja. PSB keluaran lain mungkin lain sukatannya. Hari ke 10 pun anda boleh mula letakkan ikan, tapi berwaspada dan letak dalam kuantiti sedikit dahulu. Lengkapkan sahaja 2 minggu lebih selamat.


Demikianlah caranya. Ingat, tiada tongkat sakti Harry Porter, pil ajaib dan apa-apa cara yang boleh menyempurnakan kitaran nitrogen sekelip mata. Proses ini hanya boleh dipercepatkan dengan kaedah yang betul. Dan suka kami ingatkan, hobi memelihara ikan hiasan memerlukan kesabaran, pengetahuan dan pengalaman. Uji air anda, dan juga jangan terlebih populasi.


Semoga sedikit sebanyak artikel kami memberikan kefahaman asas kepada rakan-rakan yang baru berkecimpung dalam arena “pengakuariuman” ini. Hehehe... kami pun bukan pakar. Sedikit pengalaman selama 20 tahun kami dalam bidang ini kami kongsikan. Banyak lagi tajuk-tajuk yang akan kami coretkan untuk tatapan anda, rakan-rakan H2 Aqua yang kami hormati. Tank mate, filter system, filter media, water parameter, aquarium rules, infection, medication, PSB itself dan banyak lagi akan kami sajikan untuk anda. Justeru sokongan rakan-rakan amat kami hargai dalam memberikan kami semangat untuk terus menulis. 


Kitaran Nitrogen : Bahagian 5



Dah? Baiklah. Pada bahagian ke 5 ini, kami kumpulkan soalan-soalan rutin yang kerap ditanya oleh rakan-rakan berkait dengan kitaran nitrogen. Ala.... lebih kurang macam FAQ la. Kami cuba untuk jawab sebaiknya. Mungkin orang lain mempunyai jawapan yang berbeza. Hobi ini memang ada aliran, kefahaman dan kaedah masing-masing. Jawapan yang kami beri bukanlah yang paling betul tapi berdasarkan pengetahuan dan pengalaman kami. So, jom kita mulakan.


1. Soalan : Apakah sebenarnya cara terbaik untuk memulakan kitaran nitrogen?

Jawapan : Mulakanlah dengan tanpa ikan dan bantuan bakteria. Menggunakan PSB membantu mempercepatkan kitaran dan paling kurang berisiko.


2. Soalan : Setiap kali WC, mesti ikan saya mati. Kenapa?

Jawapan : Soalan ni paling famous. Yang bertanya kekadang bertanya selain dari air apa punca? Hehehe... Kakak, punca paling utama ialah air. Kaedah WC dan nisbah penukaran air merupakan punca utama. Jadi punca utama ikan mati selepas WC ialah kerana AIR, AIR dan AIR! Sebab lain sedikit sahaja kebarang kaliannya.


3. Soalan : Jadi, bagaimanakah cara dan nisbah WC?

Jawapan : Huh, jawapan soalan ini paling kontroversi. Ini sebenarnya masuk bab tank maintanance yang akan kami tulis selepas ini. Kaedah WC ini mempunyai “fekah”nya yang tersendiri. Memang ada banyak cara dan ratio. Namun bagi kami, selepas akuarium anda lengkap kitaran dan telah ada ikan, WC yang perlu dibuat adalah 10% setiap minggu dan tidak boleh skip. Maksimum pun 20%. Melainkan tank anda anda masalah itu cerita lain. Kami agak “gerun” bila ada pelanggan kami berkongsi yang mereka WC 50% setiap 3 hari! Malah ada yang 100% setiap minggu. Aduh... kesian ikan awak dik.... Tapi dia kata, saya nampak macam ok je? Ye dik, ikan tu tak boleh bercakap. Kalau dia boleh bersuara, entah macam mana la bunyinya kan? Di situ punca kenapa selepas sehari, air kembali keruh dan ikan ada yang mula mati. Mati berjemaah pun ada kan? Sebabnya anda sentiasa berada pada awal kitaran dan tak pernah sempat sempurna kitaran tu. Boleh cuba kaedah kami, InsyaAllah masalah tu boleh diatasi. Kena bersabar. Jangan terlebih rajin WC kalau tank takde masalah. Oram putis kata “less is more”.... hehehe.


4. Soalan : Bila saya buat WC, anti klorin perlu letak ke? Bagaimana cara nak letak?

Jawapan : Sudah tentu! Cara paling baik ialah dengan menyediakan dulu air yang ingin disalin dalam bekas berasingan dan letak anti-klorin pada air baru itu dahulu mengikut sukatan air tersebut. Bukannya sukatan berdasarkan saiz akuarium anda. Lebih baik jika air itu ditadah siap-siap selama 2 atau 3 hari. Selepas buang air dari tank sebanyak 10%, masukkan air baru perlahan-lahan.


5. Soalan : Anti-klorin ni sama sahaja kan? Letak lebih pun tak pe kan? Banyak mana nak letak?

Jawapan : Hahaha.... ingat tak dialog dalam filem Musang Berjanggut? “Kalau dah mak dengan bapak sama, yang mana jantan yang mana betina?” Anti-klorin tak sama bang. Lain jenama, lain sukatan. Sila baca dengan teliti sukatan pada botol tu. Anti-klorin mesti ikut sukatan. Tidak boleh lebih dan kurang dengan ketara. Langkah terbaik boleh dapatkan chlorine tester dipasaran. Kalau boleh, dapatkan anti klorin yang mengandungi ekstrak alovera atau herba yang boleh menyingkirkan bukan setakat klorin tetapi juga logam-logam merbahaya dalam air paip.


6. Soalan : Bagaimana cara nak tahu air dalam akuarium saya berapa liter?

Jawapan: Soalan ni dah lama kami jawab. Hehehe... begini: Ukur saiz akuarium anda dalam cm.

Isipadu air 

= Tinggi air x lebar x panjang [akuarium anda dalam cm] (Tinggi air, bukan tinggi akuarium!)

= isipadu air cm persegi


Jadi berapa liter air dalam akuarium anda? Senang sahaja. Hasil di atas bahagi dengan 1000


CONTOH: Akuarium anda, tinggi air 50cm, lebar 40cm, panjang 60cm

Isipadu air 

= 50cm x 40cm x 60cm

=120,000 cm padu air / 1000

=120 liter air


Senang sahaja !

 


7. Soalan : Lepas masuk air baru, terus masuk PSB?

Jawapan : Sebaiknya tunggu 1 jam kemudian baru masukkan PSB.


8. Soalan : PSB tuang dalam filter atau dalam akuarium?

Jawapan : Mana-mana pun boleh. Cuma kami lebih mengesyorkan untuk dituang terus ke dalam tank. Biar bakteria menjelajah ke seluruh air dan kemudian akan masuk juga ke dalam sistem filter anda akhirnya.


9. Soalan : Kenapa selepas tuang PSB, air akuarium jadi keruh?

Jawapan : Itu normal. Kandungan bakteria yang terdapat dalam PSB akan mula aktif dan “bekerja” apabila masuk ke dalam air. Harus diingat PSB adalah bakteria yang baik. Beri masa untuk mereka “beraksi” dan menyempurnakan tugas. Anda akan dapat melihat perbezaan selepas 3 jam hingga ke 2 hari, bergantung kepada saiz dan parameter air akuarium anda. Sabar adalah kuncinya di sini. 


10. Media filter saya dah kotor, kena cuci ke?

Jawapan : Sudah pasti setiap kotoran perlu dicuci. Cara terbaik ialah cuci span atau media yang kotor tadi dengan air yang anda buang semasa WC mingguan anda. Jangan basuh dengan air paip kerana klorin akan membunuh bakteria baik yang terdapat pada media anda. Span yang telah diguna lebih dari 5 kali cuci boleh dibuang dan diganti dengan yang baru. Jangka hayat media lain lebih lama, bergantung kepada jenis dan kualitinya. Kami akan buat artikel khusus untuk bab ini nanti.


11. Berapa kali sehari saya perlu beri ikan-ikan saya makan?

Jawapan : Bergantung kepada jenis ikan. Ikan bersifat predator tidak perlu diberi makan setiap hari. Secara amnya, berilah makan ikan anda sekali sahaja sehari dengan saiz hidangan sederhana. Selang sehari pun tak pe. Kebanyakkan ikan mampu bertahan seminggu tanpa makanan. Sentiasa keluarkan lebihan makanan selepas 30 minit, jika ikan tidak mahu makan lagi. Jangan tinggalkan dalam tank. Ikan yang makan dengan banyak akan membuang banyak najis. Najis ikan yang banyak dan makanan berlebihan akan mengotorkan air dan boleh menyebabkan ammonia-spike yang akan membunuh semua ikan anda. Tips yang berguna : Semburkan sedikit PSB H2 Aqua yang telah dicairkan pada makanan ikan sebelum diberi makan kepada ikan. Ikan akan makan dengan lebih berselera dan warna ikan akan lebih menarik! Cubalah.


12. Berapa lama saya perlu pasang lampu untuk akuarium saya?

Jawapan : Bergantung kepada setup akuarium anda. Jika tank anda jenis aquascape, anda pasti lebih tahu “sifirnya” termasuk jenis lampu yang anda perlu guna. Secara amnya, lampu hanya perlu di pasang antara 5 hingga maksimum 7 jam sahaja setiap hari. Ini untuk mengelakkan tank anda diserang algae bloom yang menukarkan air akuarium anda kepada warna hijau. Fitrah alam Tuhan jadikan siang dan malam. Ikan anda juga perlu masa bergelap dan berehat. Amat “mengerikan” bila ada yang membuka lampu akuarium 24 jam 365 hari setahun. Jangan begitu. Jangan siksa ikan anda. Kasihanilah dia. Hehehe.....


13. Kawan saya ada mengesorkan ubat yang pantas untuk menjernihkan air sekelip mata. Bagus ke?

Jawapan : Hahaha... semua nak IKAN TERBANG kan? Tak salah. Cuma ubatan dan campuran yang memberi hasil super pantas ini biasanya berasaskan bahan kimia. Tidak semua ikan sesuai. Ikan-ikan yang lebih sensitif seperti arowana dan discus mungkin akan mati. Memang kaedah ini memberi hasil yang pantas kerana ia akan menggumpal kotoran dan membunuh bakteria, termasuklah bakteria yang baik. Untuk jangka masa panjang ia tidak baik untuk ikan. Tapi terpulanglah kepada anda. Jika anda rasakan ia tidak mendatangkan masalah, silakan. Kami lebih mengesyorkan penggunaan PSB. Bakteria VS Bakteria. Situasi ini berbeza dengan ubatan bagi ikan yang sakit ya. Itu akan diterangkan dalam bahagian yang lain nanti.


14. Soalan : Berkesan ke PSB H2 Aqua ni?

Jawapan : Alhamdulillah, maklumbalas dari pelanggan-pelanggan yang kami perolehi adalah positif. Air lebih jernih, filter kurang kotor dan paling ketara, ikan sihat dan berselera makan. Kami juga memberi tips kepada pelanggan-pelanggan kami secara personel bergantung kepada saiz tank, sistem filter dan jenis ikan yang dipelihara. 


 Demikianlah serba sedikit perkongsian dari kami dan tamatlah artikel Kitaran Nitrogen. Semoga memberi menafaat kepada rakan-rakan semua. Nasihat kami terutama bagi newbie, KESABARAN adalah kunci utama. Pelajari kaedah-kaedah yang betul bila mula setup tank anda. Jangan kelam kabut. Beri masa kepada tank anda. Bila tank anda sudah stabil dan kitaran lengkap, barulah masukkan ikan sedikit demi sedikit. Jangan terlebih populasi dan ketahuilah tank mate bagi ikan anda. Jangan campur sembarangan. Harimau dengan kambing memang tak boleh duduk sekali. Rajin-rajinlah membaca dan tambah pengetahuan berkaitan akuarium dan ikan anda.


Terima kasih buat semua rakan-rakan dan pelanggan H2 Aqua. Jaga diri dan kesihatan anda semua. Kita jumpa lagi dalam artikel akan datang. Terima kasih.


Jika artikel-artikel kami bermanafaat, jangan lupa bantu kami dengan like, follow, komen dan share page kami:

H2aqua



Comments

Popular posts from this blog

Kira Jumlah Liter Air dan Sais Akuarium

PENJAGAAN IKAN HIASAN

Apakah itu PSB? Dan bagaimanakah ia berfungsi?